Aberdeen, 12 September – Bertempat di kediaman saudara Shafiq, Persatuan Melayu Aberdeen telah menganjurkan Program Ihya’ Ramadhan, Iftar Perdana dan Majlis Khatam al-Quran. Program telah dihadiri oleh seramai 70 orang warga Melayu Aberdeen.
Majlis dimulakan dengan Khatam al-Quran kendalian Penasihat PMA Ustaz Burhan. Selepas berbuka puasa dengan sentuhan resepi Kak Ayu, program diteruskan dengan solat tarawih secara berjamaah. Pengisian ilmu ringkas telah disampaikan oleh Penasihat PMA, Ustaz Irfan. Beliau menyentuh mengenai Ihya’ Ramadhan, serta membuat perincian terhadap persoalan zakat. Ramai peserta telah mengajukan pelbagai soalan mengenai ibadah zakat sepanjang pengisian itu berlangsung.
Persatuan Melayu Aberdeen mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua tuan rumah, penyumbang dan AJK yang bertugas.
Tazkirah ringkas oleh Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham
Sebahagian Wanita Melayu Aberdeen yang hadir
Sebahagian yang hadir
Biasakanlah anak-anak kecil dengan madrasah Ramadhan
Aberdeen, 16-17 Mei – Seramai 28 orang daripada Aberdeen, Dundee, St Andrews dan Glasgow telah menyertai Kursus Pra-Perkahwinan dan Kekeluargaan Islam di New Kings, University of Aberdeen. Kursus anjuran Persatuan Melayu Aberdeen itu telah dikendalikan oleh Ustaz Mohd Erfino Johari, Pegawai Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia London.
Menurut pengarah program, Burhanuddin Salim, kursus berkenaan dianjurkan dengan bermatlamatkan untuk memberikan kefahaman dan gambaran yang jelas mengenai hukum-hakam berumahtangga, serta realiti yang berkaitan dengannya.
“Berbeza dengan kursus pra-perkahwinan di tanah air, program kita turut meliputi beberapa siri latihan dalam kumpulan (LDK) bagi memastikan para peserta lebih mendalami modul kursus yang ditawarkan,” ujar beliau lagi.
Diharapkan agar para peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang kursus ini dan dapat diaplikasikan di dalam kehidupan berumahtangga kelak.
Aberdeen, 19 Mac – Persatuan Melayu Aberdeen akan meneruskan siri kursus Genggam Bara Api kali ke-3 pada 16 dan 17 Mei 2009. Tema GBA pada kali ini ialah Kursus Rumahtangga Islam.
Penceramah kursus ini ialah Pegawai Atase Pendidikan JPM London, Ustaz Erfino Johari. Peserta yang menghadiri kursus ini akan mendapat sijil yang sah digunakan untuk urusan perkahwinan di Malaysia kelak.
Rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai kursus perkahwinan ini boleh membuat pre-registration ke alamat melayu.aberdeen@yahoo.com dengan menyertakan nama penuh, alamat di UK, email dan no telefon. Maklumat lanjut mengenai yuran, penginapan dan yang berkaitan akan menyusul kemudian. Tempat adalah terhad. Justeru, pendaftaran awal amat digalakkan.
Aberdeen, 14 Mac – Bertempat di Zoology Building University of Aberdeen, Persatuan Melayu Aberdeen telah mengadakan Majlis Memperingati Maulidur Rasul dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-2. Seramai hampir 70 orang warga Melayu Aberdeen telah menyertai program tersebut.
Acara dimulakan dengan pengisian sirah Nabi Muhammad SAW oleh Ustaz Burhan, dengan penekanan diberikan kepada kisah di hujung riwayat hidup baginda. Pengisian ini adalah penutup kepada pengisian sirah di majlis ilmu yang dianjurkan secara mingguan di Aberdeen.
Turut dianjurkan ialah Kuiz “Ceria Riang Ria Menyingkapi Sirah Rasulullah SAW”. Kuiz ini telah dimenangi oleh pasukan lelaki. Hadiah peserta terbaik pula telah dimenangi oleh saudari Husna Afifi setelah berjaya memberikan jawapan tepat paling banyak di dalam kuiz tersebut.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Melayu Aberdeen kali ke-2. Mesyuarat dipengerusikan oleh saudara Burhanuddin Salim. Satu usul untuk memansuhkan yuran tahunan dengan menggalakkan sumbangan telah diluluskan di dalam mesyuarat tersebut. Selain itu, mesyuarat juga telah memilih senarai ahli jawatankuasa PMA bagi sesi 2009/2010. Berikut merupakan senarai AJK baru:
Presiden: Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham
Timbalan Presiden: Shafiq Abdullah
Setiausaha: Wan Asyraf Wan Adnan.
Bendahari: Siti Nawwal Ahmad Nasfy
Ketua Hal-ehwal Wanita: Kamariah Ismail
AJK:
Wan Hamizi
Fazli Mansor
Haleena
Husna Afifi
Program ditamatkan dengan solat Asar berjemaah dan jamuan hi-tea. Terima kasih diucapkan kepada yang hadir dan juga yang membantu menjayakan majlis tersebut.
Pendaftaran akan mula dibuka pada jam 11.30 pagi 15/11/2008 di bilik ZB18 dan ZB19 Zoology Building. Yuran sebanyak £3 boleh dibayar semasa pendaftaran. Tentatif program adalah seperti di bawah:
15 November 2008 (Sabtu)
Sesi 1: Keynote Speech – Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung (mula jam 12.30 pm)
Sesi 2: Talk – Managing Your Deen In The West (mula jam 1.45 pm)
Sesi 3: Talk Show – Kepentingan Memahami Fiqh Luar Negara (6.00 pm)
16 November 2008 (Ahad)
Aktiviti jalan-jalan ke The Lecht via Royal Deeside Road (bertolak jam 8.00 am)
Dijemput semua untuk hadir beramai-ramai ke program di atas.
Alhamdulillah Majlis Aidilfitri PMA 2008 berlangsung dengan jayanya. Jutaan penghargaan dirakamkan kepada seluruh warga Melayu Aberdeen/alumni Melayu Aberdeen yang turut sama memeriahkan sambutan kali ini. Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh ahli jawatankuasa program sambutan ini kerana telah bertungkus lumus dan bekerja keras dalam memastikan kejayaan majlis. Begitu juga kepada semua yang telah membantu dalam bentuk sumbangan jamuan, peralatan, hadiah, pengangkutan, idea, tenaga dan sebagainya. Moga Allah swt menyediakan ganjaran terbaik buat semua di atas sumbangan yang telah diberikan.
Dengan segala hormatnya dijemput Tuan/Puan/Encik/Cik ke Majlis Aidilfitri 2008 anjuran Persatuan Melayu Aberdeen, Scotland pada 11hb. Oktober 2008 (Sabtu) bertempat di Strathcona Hall, Strathcona House, Rowett Research Institute, Greenburn Road, Bucksburn, Aberdeen AB21 9SB.
Kehadiran seluruh warga Melayu Aberdeen akan memeriahkan lagi majlis kali ini. Di samping bertemu mata beramah mesra, kita akan sama-sama menikmati hidangan raya Aidilfitri yang disediakan. Jumpa di sana!
Umat Islam di bumi Aberdeen dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan menyambut kedatangan 1hb. Syawal 1429 H bersamaan Hari Selasa 30hb. September 2008.
Kepada seluruh warga Melayu Aberdeen/alumni Melayu Aberdeen diucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1429 H. Sama-samalah kita bermaaf-maafan di pagi 1 Syawal yang mulia. Kongsikan kegembiraan, ucapkanlah ‘TaqabbalalLahu Minna wa Minkum’, ‘Eid Mubarak’. Moga-moga Allah swt mengembalikan kita semua kepada fitrah yang suci hasil daripada didikan ‘Universiti Ramadan’ pada tahun ini.
Maaf Zahir Batin.
* Solat sunat Hari Raya Aidilfitri akan diadakan pada jam 9.00 pagi bertempat di Linksfield Community Centre. Usahakan untuk datang awal kerana ‘parking space’ agak terhad dan sila bawa sejadah/alas untuk solat.